Sila klik link di bawah ini. Terima kasih :)

Dengarkanlah...

Friday, June 8, 2012

Tafsir Surah Al-Baqarah, Ayat 153


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Assalamua’alaikum wrt. wbt. Syukur kepada Allah Ta’ala kerana masih memberi kesempatan kepada kita untuk hidup dalam keimanan dan Islam dengan mengucapkan “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin”. Tidak lupa pula kita berselawat kepada baginda Rasulullah s.a.w dengan mengucapkan “Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aali Sayyidina Muhammad”. Mudah-mudahan dengan berselawat kepada baginda, akan diberi syafaat olehnya di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Pada kali ini, kita akan sama-sama mengkaji tafsir dari ayat 153, Surah al-Baqarah. Ayat ini mempunyai hubungan dengan ayat-ayat sebelumnya, iaitu Allah menjelaskan tentang musuh Islam yang dengki atau melakukan kejahatan terhadap ummat Islam kerana mengikuti kebenaran iaitu mengikuti petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Islam tidak termakan dengan isu orang Yahudi dengan meragukan ummat dalam isu peralihan kiblat. Berbagai cara yang mereka lakukan agar ummat Islam tidak mengikuti kebenaran itu. Ini adalah sesuatu yang berat bagi ummat Islam yang perlu menghadapi kedengkian musuh terhadap mereka. Maka Allah turunkan ayat di atas supaya memohon pertolongan kepada Allah dan Allah mengajarkan pula cara memohon pertolongan itu adalah dengan cara bersabar dan solat. Kerana apabila Allah sudah bersama dengan orang yang sabar, maka tidak ada lagi maknanya kedengkian musuh tersebut. Sehebat manapun musuh itu, mereka tidak akan berhasil menggoyahkan keimanan ummat Islam. Sebab Allah memelihara orang yang sabar dari kejahatan musuh.

Akan tetapi, adakalanya sabar kita itu menjadi lemah kerana menghadapi penderitaan yang panjang. Maka, untuk memulihkan kesabaran kita itu, Allah gandingkan dengan solat. Kerana dengan solat, kesabaran kita kembali kuat. Kembali pulih seperti sebelumnya. Maka, mudah pula bagi kita menghadapi penderitaan menghadapi musuh.

Perlu difahami konteks ayat ini bukanlah hanya untuk perkara itu sahaja. Malah ayat ini juga boleh dijadikan sandaran dalam perkara-perkara lain. Mungkin kita menghadapi penderitaan dengan pelbagai ujian seperti sakit, kelaparan, kemiskinan, dengki orang, kematian seperti yang disebutkan pada ayat selanjutnya iaitu ayat 155. Boleh jadi, berat untuk kita melakukan ketaatan sekalipun kita mampu menghadapinya dan yang lebih berat lagi apakah kita mampu bertahan dalam melakukan ketaatan di saat kita menderita? Inilah yang dinamakan sabar. Sabar terhadap penderitaan dari musuh dan penderitaan terhadap ujian-ujian dalam kehidupan kita.

“Wahai orang-orang yang beriman”. Banyak ayat ini di dalam al-Qur’an. Di sini kita dapat ketahui bahawa Allah ingin menjelaskan suatu kewajipan setelahnya dengan keimanan yang ada pada hamba-Nya iaitu memohon pertolongan kepada Allah. Maka ini menjadi satu kewajipan bagi orang-orang yang beriman supaya meminta tolong hanya kepada Allah. Kenapa? Sebab orang beriman, mereka tahu bahawa mereka adalah hamba yang lemah, memiliki kekurangan dan keterbatasan, tidak ada daya upaya kerana semuanya adalah dari sisi Allah dan apabila Allah menguji dengan penderitaan dan musibah, maka wajib bagi orang yang berimam memohon pertolongan dari Allah kerana untuk menampakkan penghambaan diri kepada Allah. Jika tidak mahu meminta tolong kepada Allah, maka nampaklah keangkuhan dan kesombongan seperti mereka itu mampu untuk menyelesaikan penderitaan atau musibah itu sendiri. Siapalah kita nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah? Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang lemah dan tidak memiliki kekuasan.

Meminta tolong kepada Allah adalah ibadah dan itu adalah perbuatan yang mulia. Meminta tolong kepada Allah adalah untuk membuktikan kita ini hamba yang memiliki keterbatasan kelemahan, tiada kuasa. Maka nampaklah kerendahan kita dihadapan Allah Yang Maha Tinggi. Maka nampaklah hina kita dihadapan Allah Yang Maha Mulia. Meskipun kita kaya, walaupun kita kuat, mintalah pada Allah dengan kerendahan hati sebagai hamba yang miskin, hamba yang lemah untuk menampakkan kehambaan kita kepada Allah.

Kita nak tidur, adakah pejam mata rapat-rapat terus tidur? Tidak. Siapa yang menidurkan kita? Allah s.w.t. Walaupun mata itu ada di kepala kita pun, kita tak dapat tidur jika Allah tidak tidurkan kita. Kadang-kadang, ada orang tak boleh tidur sampai pagi.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ  
“Hanya kepada Engkaulah (Allah) yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan”. [Surah al-Fatihah, ayat 5]

SABAR

Sabar maknanya menahan yakni menahan dari hawa nafsu. Jika sakit, maka keinginan nafsu nak kepada sihat. Dah bertahun-tahun makan ubat, tapi tak sihat-sihat juga. Lalu, bagaimana cara menghadapi sakit supaya dapat menjalaninya sakit dengan baik? Tahanlah hawa nafsu itu dari nak sihat. Tapi walaupun keinginan nafsu itu nak sihat, apakah kita akan sihat apabila memperturutkan hawa nafsu? Yang menentukan kita sihat adalah Allah, jika kita disembuhkan, maka kita pun sihat.

Kadang-kadang kita berdoa “Ya Allah! Dah 3 bulan dah Allah. Hamba dah lama sakit ni Ya Allah, berapa lama lagi Ya Allah penyakit hamba ni”.

Cuba menahan hawa nafsu itu. Seperti kita kata, “Ya Allah! Yang menetapkan penyakit ini. Aku yakin pasti ada hikmah disebaliknya. Hamba beriman dan yakin kepadaMu. Aku akan jalani penyakit ini, seberapa lama yang Engkau tetapkan akan aku hadapinya dengan pasrah dan redha bahkan aku menikmati penyakit ini kerana Engkau Yang Bijaksana pasti ada hikmah disebaliknya”. Dengan kasih sayang Allah, Allah akan sembuhkan.

Ada orang dengki dengan kita atau ada orang melakukan kejahatan kepada kita. Pada waktu itu, nafsu kita ingin membalasnya. Tapi kita bersabar. Ini adalah ujian, pasti ada hikmahnya. Ingin menguatkan iman kita. Supaya lebih mudah menghadapi ujian hidup akan datang. Nabi pun dimusuhi, apatah lagi kita. Sabar ini ada dalam 2 perkara, iaitu dalam perkara yang kita tak suka dan perkara yang kita suka. Firman Allah:

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً
“Kami uji kamu dengan perkara yang buruk (yang kamu tak suka) dan perkara yang baik (yang kamu suka) sebagai ujian”. [Surah al-Anbiya, ayat 35]

Jika minta tolong kepada Allah, mintalah dengan bersabar. Allah akan menolong kita sama ada dalam perkara yang buruk dan perkara yang baik. Perkara yang buruk, yang kita tak suka, banyak. Sakit, lapar, miskin, dan sebagainya. Perkara yang baik sebagai contoh menuntut ilmu kerana memerlukan masa yang lama, banyak kena habis duit. Maka, kita bersabar. Allah akan tolong sehingga tanpa kita sedar pada hari ini kita dapat lulus dalam UPSR, PMR, SPM, dapat masuk universiti dan berjaya sehingga tamat pengajian.

Sekarang, bagaimana untuk menjadikan sabar itu sentiasa ada dalam diri kita? Dengan menunaikan solat. Kata nabi, “Bila aku susah aku sabar dan bila terasa sangat susah, maka aku solat”. Kerana solat akan menguatkan kesabaran kita. Kerana solat menghubungkan kita dengan Allah. Kita yang lemah berhubung dengan Yang Maha Berkuasa, maka Allah akan menutupi kelemahan kita. Kita pun menjadi sabar kembali. Kita pun tenang. Jika tak tenang juga, pasti ada yang tak kena dengan solatnya, dengan kata lain, solatnya kurang sempurna.

SOLAT

Di dalam solat, ada 3 perkara penting iaitu kita takbir, tahmid dan tasbih. MembesarkanNya,  Allah nampakkan kekuasaanNya. MemujiNya, Allah menampakkan Dzat Allah Yang Terpuji dan MensucikanNya, Allah nampakkan bahawa Dia jauh dari sifat kekurangan. Kita yakin dengan Allah. Kita bersangka baik kepada Allah. Maka Allah akan tolong kita dan akan bersama dengan kita.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - قَالَ قَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - ) يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى ، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِى ، فَإِنْ ذَكَرَنِى فِى نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِى نَفْسِى ، وَإِنْ ذَكَرَنِى فِى مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِى مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا ، وَإِنْ أَتَانِى يَمْشِى أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً )
Maksudnya:
“Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Saw bersabda: Allah berfirman:
“Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam satu kumpulan, Aku mengingatinya dalam kumpulan yang lebih baik dari kumpulan mereka. Jika dia mendekati kepada-Ku satu jengkal, maka Aku mendekati kepadanya satu hasta. Jika dia mendekati kepada-Ku satu hasta, maka Aku mendekati kepadanya satu lengan. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari”. [Sahih Bukhari]

Kisah Nabi Yunus Ditelan Ikan

Kata Allah, “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun (Nabi Yunus), ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau ujian (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku; yakni ditelan ikan) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita (dalam perut ikan) dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan Dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan demikianlah Kami selamatkan pula orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). [Surah al-Anbiya’, ayat 87-88]

Firman Allah lagi, “Maka kalaulah dia (Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari berbangkit”. [Surah as-Soffat, ayat 143-144]

Nabi Yunus diselamatkan Allah dengan bertasbih kepadaNya. Inilah yang dinilai dalam solat. Dalam Surah Muzammil, kerana beban yang dihadapi oleh Rasulullah ketika ummat Islam ditindas, Allah mengingatkan Nabi “Wahai orang yang berselimut! (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari, separuh malam, atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari itu”.

Kelebihan Orang Yang Sabar

Di dalam al-Qur’an, banyak disebutkan kelebihan dan keistimewaan orang-orang yang bersabar. Salah satunya adalah orang-orang yang sabar akan masuk syurga tanpa dihisab. Firman Allah:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan balasan mereka dengan tanpa dihisab”. [Surah az-Zumar, ayat 10]

Dalam riwayat tafsir mengatakan, suatu ketika malaikat terkejut apabila nampak sekumpulan manusia dan berkata “Hei kamu! kemana kamu nak pergi?” Mereka menjawab, “Kami nak masuk syurga”. Kata malaikat, “Tapi kamu belum dihisab”. Mereka berkata, “Ya, tapi kami sudah diperkenankan untuk masuk ke dalam syurga”. Malaikat bertanya lagi, “Apa yang menyebabkan kamu terus masuk ke syurga tanpa di hisab?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang yang sabar dahulu ketika di dunia”.

Wallahua’lam…

p/s: Tafsir ini saya ringkaskan dalam bentuk tulisan dari kuliah tafsir yang disampaikan oleh Kiyai Haji Dr. Musthafa Umar, Lc.MA. (Ulama' Riau)

1 comments:

pasidzone satu said...

ijin disebarkan lagi mas :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
;